Tv3 putar belit kenyataan Ahli parlimen Pakatan Rakyat
>> Wednesday, 20 June 2012
Selaku penyiaran rasmi dakyah Umno
KUALA LUMPUR 20 Jun: Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat berkata, TV3 telah memutar belit kenyataan kononnya beliau berpuas hati dengan pembentangan Laporan Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) mengenai projek Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Dewan Rakyat.
“Semalam apabila (TV3) tanya saya adakah TOL (Lesen Pengendalian Sementara) itu perlu diberi, saya sebut saya tak boleh komen apa-apa, sebab kalau boleh Lynas perlu melaksanakan lab untuk menunjukkan berapa sebenarnya sisa, tahap radiasi luaran dan sebagainya.
“Bila dia (Lynas) buat ekstrak, maka dia ada sisa, kemudian sisa air…bagaimana dia buat rawatan dan akhirnya dia kata yang bersih itu masuk ke dalam Sungai Balong.
“Sebab itu saya sebut lab bukan TOL,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Turut serta Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad.
Menurut Che Rosli, laporan PSC yang dibentang Parlimen semalam, ada memuatkan masalah yang disuarakan masyarakat dan NGO, bagaimanapun ia tidak mencukupi.
“Jawapan ini tidak cukup dengan statistiknya. Umpamanya mengenai kebimbangan kesan sinaran di Bukit Merah. Kena ada statistiknya…barulah kita terangkan kepada masyarakat tidak ada radiasi.
“Tapi masalahnya, saya difahamkan di Bukit Merah itu masih tersimpan ekstrak nadir bumi yang mengandungi aktiviti yang agak tinggi,” katanya.
Beliau berkata, PSC terlalu cepat memutuskan Lynas perlu diberi TOL sebelum Lembaga Perlesenan Tenaga Atom Negara (AELB) mengesahkannya.
Tambah beliau lagi, walaupun PSC mendakwa radiasi Lynas adalah rendah, namun ia tidak bermakna projek itu selamat kerana banyak lagi aspek-aspek yang perlu dikaji.kd