Powered by Blogger.

BERBAIK SANGKALA

>> Monday 26 October 2009

SORANG MAIN RAGBI SORANG MAINBOLA JARING

Bagaimanakah PAS akan menyelesaikan persoalan yang berbangkit dalam parti itu sekarang? Inilah soalan yang dibangkitkan oleh banyak pihak ekoran kenyataan Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Bagi saya kita kena kembali kepada pokok masalahnya. Apa masalahnya sehingga Nik Aziz membuat kenyataan dan cadangan sedemikian.

"Bagi saya kerana beliau tidak berpuashati dengan cara pemimpin PAS mengendalikan isu di Selangor. Kalau begitu selesaikan isu di Selangor," kata seorang penganalisa.

Bagi beliau, sebagaimana ramai pihak di luar PAS, Nik Aziz sangat risau dengan apa yang berlaku di Selangor. Ia telah menghasilkan satu persepsi umum yang kurang baik kepada PAS.

Ia bermula dengan siri-siri kenyataan dan pendirian Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali dalam hal ehwal Selangor.

Yang terakhir adalah serangan Hassan, exco kerajaan negeri Selangor ke atas Selcat yang ditubuhkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor untuk menghadapi serangan ke atas kerajaan negeri itu.

Mereka beranggapan, Umno telah mempergunakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menekan pimpinan kerajaan negeri Selangor.

Padahal, yang paling banyak membuat penyelewengan adalah kerajaan Selangor yang dipimpin oleh BN sebelum ini. Antaranya menghabiskan peruntukan kerajaan negeri untuk setahun dalam tempoh tiga bulan sahaja iaitu habis pada Mac 2008 sahaja.

Ini semua didedahkan dalam sidang Selcat yang dipimpin oleh Speaker Dewan Negeri Selangor, Teng Chan Kim.

Hasan melalui satu sidang medianya telah menyerang cara Selcat mengendalikan penyiasatan awamnya sehingga memalukan pegawai kerajaan yang memberikan keterangan dalam sidang Selcat.

Padahal, sebagai Exco, Hasan boleh bangkitkan rasa tidak puashati beliau itu dalam mesyuarat Exco yang diadakan saban minggu. Ini tidak, dalam mesyuarat Hasan hanya mendiamkan diri tetapi cukup hebat dalam membuat kenyataan-kenyataan media.

Apabila Hasan menyerang Selcat melalui media, sudah pasti rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat di Selangor akan marah. Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim ketika bercakap dengan wartawan Singapura tidak memberikan ulasan pedas tetapi berkata:

"Inilah masalah kami. Kami main bola tetapi tiba-tiba ada antara ahli pasukan kami main ragbi," katanya.

Khalid juga telah menghantar satu surat khas kepada Presiden PAS berkaitan dengan isu ini.

Apa yang berlaku di Selangor telah memberikan signal yang negatif terhadap PAS dalam bekerjasama dengan rakan-rakannya dalam Pakatan. Dalam masa yang sama, apa yang berlaku di negeri ini juga menjadi contoh penting kepada seluruh negara.

Ia disahkan lagi melalui keputusan pilihan raya kecil Bagan Pinang apabila PAS kalah teruk di situ. Antara puncanya kerana dikatakan pengundi Cina dan India tidak memberikan sokongan penuh kepada calon PAS. Dengan mudah jari ditunjukkan kepada Hassan Ali sebagai puncanya.

Kalau begitu, apa pula yang Nik Aziz marahkan kepada pimpinan PAS. Nik Aziz marah kerana beliau melihat para pemimpin PAS yang ada semacam membela Hasan pula. Ini kerana, bagi beliau, semua pemimpin kanan PAS yang ada sekarang rakan sepasukan Hasan dalam isu kerajaan perpaduan.

Bahkan pihak yang dianggap sebagai musuh Hasan dalam politik Selangor, iaitu Khalid Samad, anggota Parlimen Shah Alam diserang oleh pemimpin PAS dalam beberapa siri mesyuarat Pakatan Rakyat.

Kalau begitu bagaimana cara menyelesaikan perkara ini? Mesyuarat agung luar biasa yang bakal berakhir macam MCA atau bertindak tanpa perlukan mesyuarat sebegitu.

Menurut seorang ahli Parlimen PAS di Selangor, sesaorang harus di hukum dan bertanggungjawab ke atas segala masalah ini untuk mempastikan semua yang lain termasuk nama baik parti terselamat. Beliau mencadangkan, Hasan Ali yang mesti dihukum.

Beliau mencadangkan agar Hasan melepaskan jawatannya sebagai Exco kerajaan negeri Selangor kerana nampak sangat beliau tidak boleh lagi bekerja dalam pasukan Pakatan di Selangor.

"Dia sudah main ragbi ketika ahli pasukan lain main bola. Jadi dia yang kena kad merah," kata beliau.
Read more >>

Read more...

SIAPA DALANGI TGNA

ANA DAH TUA

“Saya dah tua tak perlu jadi didalangi orang dah. Seperti yang saya katakan saya hanya hendak jaga parti saya supaya dihormati sampai bila bila. Masalah letak jawatan tu… Selagi umur saya ada, banyak lagi perkara yang belum berakhir.”

Inilah penegasan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terhadap beberapa kenyataan kononnya bukan Nik Aziz yang membuat kenyataan agar diadakan satu mesyuarat khas untuk menukar kepimpinan partinya.


Nik Aziz menafikan tuduhan kononnya dia telah didalangi pihak tertentu dalam membuat kenyataan atau cadangan tersebut dan tindakannya itu adalah sebagai tindakan terakhirnya sebelum melepaskan jawatan.

Antara yang membuat kenyataan seolah-olah Nik Aziz hanya membuat kenyataan berdasarkan pandangan orang lain adalah Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib dan Ketua Penerangan PAS Selangor, Roslan Shahir yang tidak percaya kenyataan itu datang dari Nik Aziz sendiri.

Harun berkata, beliau tidak percaya Nik Abdul Aziz yang menulis di dalam blog berhubung muktamar khas itu.

“Setakat ini saya masih tak percaya Tok Guru Nik Abdul Aziz buat keputusan seperti itu,” ujarnya kepada media selepas merasmikan Majlis Penutup Sambutan Jubli Perak Pasti Negeri Terengganu di Dewan Banat Maahad Darul Quran, Rusila, petang ini.

Katanya, walaupun perkara itu terdapat di dalam blog tok guru, namun siapa sebenarnya yang menulis tidak diketahui.

“Saya tak percaya tok guru kata. Saya rasa bukan tok guru (tulis). Saya kenal tok guru,” ujarnya.

Baginya, dengan kecanggihan yang ada sekarang, sesiapa sahaja boleh menulis dan memasukkannya ke dalam blog Menteri Besar Kelantan itu.

Kenyataan kedua-duanya membayangkan seolah-olah Nik Aziz dipergunakan oleh sesetengah pihak yang rapat dengan beliau untuk membuat kenyataan sebegitu. Yang menjadi sasaran adalah bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa yang dianggap sangat rapat dengan Menteri Besar Kelantan itu.

Ketika ditanya media mengenainya, Nik Aziz menegas, beliau sudah tua dan tidak perlu jadi dalang orang.

Beliau memberitahu, apa yang diluahkan tidak ubah sebagai melontarkan buah pikiran demi menjaga keluhuran parti kerana parti PAS adalah sebuah parti yang dihormati oleh seluruh masyarakat.

Dan umumpun sudah maklum bahawa PAS sebelum ini memang bertindak dalam membuat sesuatu keputusan ialah secara kolektif iaitu malaui Majlis Syura yang juga berfungsi sebagai tempat membuat dasar.

“Jadi kalau ada orang yang tidak setujupun tidak mengapa, saya tidak kecewa. Saya Cuma beri idea bila timbul sesuatu yang memaksa saya buat begitu,” katanya yang juga sedikitpun tidak merasa kesal terhadap penolakan PAS Selangor mengenai cadangan itu.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas perasmian masjid baru, masjid Nuraini di Pasir Hor, dekat sini. Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tengku Ahmad Rithaudeen.

Semasa menjawab soalan media kemungkinan menarik balik cadangan itu atau mungkin ada pendekatan lain dalam usaha menjernihkan keadaan Nik Aziz yang juga Menteri Besar tetap bertegas tidak ada sebab untuknya menarik balik kenyataan itu kerana baginya ia adalah realiti di dalam PAS, dan juga tidak ada pendekatan lain perlu dilakukan kerana ia adalah hanya satu teguran, bukan satu perbalahan.

Dalam pada itu Nik Aziz yakin perkara yang berbangkit itu adalah bukan satu gambaran konflik dalaman membawa kepada perpecahan PAS.

Sementara itu, pada majlis yang sama, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, berharap perkara tersebut tidak dimanipulasikan oleh semua pihak termasuk ahli PAS sendiri sebelum kenyataan rasmi parti dikeluarkan.

Selari dengan kenyataan Nik Aziz, beliau juga menafikan wujudnya perpecahan di dalam parti.

“Saya rasa tidak ada isu dalaman parti” jelasnya ringkas sambil memaklumkan akan membawa amanah Nik Aziz berhubung perkara berkenaan kepada parti samaada presiden ataupun pucuk pimpinan tertinggi parti dalam masa terdekat ini.
Read more >>

Read more...

BILA TUAN PRESIDEN BERBICARA

SELESAIKAN EGM SECARA MUSYAWARAH

KUALA LUMPUR, 25 Okt- Kemelut dalaman yang sedang dihadapi PAS perlu diselesaikan secara musyawarah dan bukannya menerusi penggunaan media massa dan media baru, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata pendekatan musyawarah dengan berpegang kepada budaya dan panduan yang menjadi pegangan PAS sewajarnya dipilih, sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan parti.

"Sehubungan itu, saya meminta seluruh ahli dan kepimpinan PAS di pelbagai peringkat untuk bersabar dan bertenang dalam menghadapi persoalan dalaman parti pada waktu ini," katanya dalam kenyataan media di sini, pada hari Ahad.

Ini merupakan kenyataan pertama Abdul Hadi selepas Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mencadangkan dalam blognya, www.bloktokguru.com supaya Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) diadakan bagi menukar 'dua tiga kerat' pemimpin parti itu yang bermasalah.

Tiga pemimpin yang dinamakan dalam blognya itu ialah Timbalan Presiden Nasharuddin Mat Isa, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hassan Ali.

Abdul Hadi berkata beliau telah pun mengarahkan Mustafa supaya menentukan tarikh yang sesuai dalam masa terdekat untuk diadakan mesyuarat bagi membincangkan permasalahan yang timbul.

"Kita berdoa agar Allah sentiasa memberikan taufik dan hidayahnya kepada kita semua dalam usaha untuk merungkai permasalahan ini dan seterusnya memperkukuhkan parti," katanya.

Cadangan Nik Abdul Aziz itu menimbulkan pelbagai reaksi daripada anggota parti itu, manakala individu-individu yang dikaitkan sebagai 'pemimpin bermasalah' setakat ini mengambil pendekatan sama ada untuk berdiam diri atau mahu mendapatkan penjelasan lanjut berhubung kenyataan berkenaan.

Naib Presiden parti itu Salahuddin Ayub pula hari ini dilaporkan berkata isu mengadakan EGM sudah tidak berbangkit kerana parti itu sebaliknya akan mengadakan satu mesyuarat khas bagi membincangkan isu dalaman parti seperti yang disarankan Nik Abdul Aziz dalam pertemuan mereka di Kota Baharu semalam.
Read more >>

Read more...

Iklan lokasi D

BANTUAN ANDA DIPERLUKAN

BLOGGER

KOLEKSI Abang k

BLOGGER