UMNO TRANUNG KOHOR BERAT NANANG DAHHHHHH
>> Monday, 19 July 2010
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein melahirkan kekecewaan dengan tindakan empat Adun BN Terengganu dari Parlimen Setiu kerana tidak menghadiri persidangan perwakilan Umno bahagian Setiu yang dirasmikan oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, 16 Julai lepas.
Katanya, ini bukan budaya pemimpin Umno dan mereka sepatutnya menghormati Muhyiddin. Walaupun mereka mempunyai masalah dengan bahagian tetapi parti lebih penting dari diri kita. Begitulah kiranya kenyataan Hishammuddin dipetik.
Anehnya, sebelum ini telah beberapa kali Hishammuddin menyatakan masalah Umno Terengganu telah selesai dan mereka telah kembali bersatu sebagai satu pasukan. Sekadar fakta, Parlimen Setiu mempunyai empat Dun iaitu Jabi, Permaisuri, Langkap dan Batu Rakit.
Empat Adun yang tidak hadir bermakna keseluruhan Adun tidak hadir. Mereka yang tidak hadir pada mesyuarat perwakilan bahagian itu ialah Adun Langkap, Asha’ri Idris yang merupakan Timbalan Ketua Umno Bahagian Setiu, Adun Permaisuri, Abd Halim Jusoh (naib ketua), Adun Batu Rakit, Khazan Che Mat (ketua pemuda) dan Adun Jabi, Ramlan Ali. Tinggallah Datuk Mohd Jidin Shafei berseorangan selaku ketua bahagian dan Ahli Parlimen Setiu satu-satunya wakil rakyat yang hadir menyambut Muhyiddin.
Mengimbas kembali kisah perdamaian Umno Setiu yang telah berlaku hampir setahun lalu...
Mungkin sebagai suatu langkah perubahan yang dilaung-laungkan semasa perhimpunan agung Umno tahun lalu, Umno Setiu juga seolah-olah dilihat mengambil langkah positif untuk mendamaikan antara puak-puak yang hebat bertelagah dengan mengadakan pertemuan antara semua wakil-wakil rakyat di dalam parlimen Setiu beserta penyokong-penyokong mereka bersama Datuk Ahmad Said bertempat di Dewan Sivik Jabi sejurus selepas perhimpunan agung Umno 2009 lalu. Sumber yang diyakini memaklumkan, semua wakil-wakil rakyat hadir bersama penyokong mereka ketika itu kecuali Adun Batu Rakit.
Dalam konteks Setiu, pertelagahan berlaku antara puak pro Idris Jusoh yang diketuai Ramlan Ali, Adun Jabi dan puak pro Ahmad Said yang diketuai Mohd Jidin, ketua bahagian merangkap Ahli Parlimen Setiu. Pergeseran antara dua puak jelas dizahirkan semasa pemilihan Umno peringkat bahagian tahun lalu yang menyaksikan Ramlan Ali tewas tipis untuk merebut jawatan ketua bahagian di tangan Mohd Jidin tetapi Asha’ri dari pasukan Ramlan menang dalam perebutan jawatan timbalan ketua bahagian.
Antara isu besar ketika itu, Adun-Adun tidak diberikan kebebasan melantik pengerusi jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) pilihan mereka dengan campur tangan Mohd Jidin yang mendapat lampu hijau Ahmad Said. Krisis perlantikan pengerusi JKKK khususnya di Dun Jabi yang mengakibatkan tersingkirnya ramai pengerusi-pengerusi JKKK pilihan Ramlan dan digantikan dengan pengerusi-pengerusi JKKK pilihan Menteri Besar (baca pilihan Mohd Jidin) seolah-olah seperti meletakkan garam yang menambah kepedihan di tempat luka yang masih belum sembuh dan tidak tahu bilakah akan sembuh.
Dalam konteks Dun Jabi juga, masyarakat setempat ramai yang tertanya-tanya kenapakah pejabat dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Setiu untuk Dun Jabi dibuka di Kampung Renek, tidak di Pekan Jabi di mana terletaknya pejabat dan Pusat Khidmat Adun Jabi sedangkan Pekan Jabi adalah tempat tumpuan masyarakat Dun Jabi dan di sinilah acara-acara penting peringkat Dun selalu dilangsungkan.
Saya sama sekali tidak berminat untuk mencampuri urusan dalaman mereka sekiranya apa yang berlaku hanya dalam kelompok mereka dan tidak menyentuh kepentingan rakyat, tetapi apabila tamak dan haloba perebutan kuasa politik ini telah merebak sehingga jelas kelihatan mereka mementingkan perebutan pangkat, darjat, kedudukan dan projek lebih dari kepentingan rakyat, maka pendirian perlu dinyatakan.
Amat malang bagi rakyat bawahan yang menjadi pelanduk tersepit di antara gajah-gajah yang bertarung. Kenapa saya berkata begitu dan saya sebenarnya dari dahulu amat meragui bahawa pertelagahan ini akan berakhir serta puak pro Idris dan puak pro Ahmad Said di Setiu akan berdamai!
Perlu dijelaskan bahawa pertelagahan antara dua puak ini adalah perlumbaan merebut kepentingan terutamanya selepas diwar-warkan bahawa royalti minyak akan dipulangkan balik. Sudah tentu akan banyak projek-projek yang akan mencurah di Terengganu. Mereka yang merasakan tidak berpeluang mendapatkan lebih banyak projek akan haloba dengan kuasa. Suatu gejala yang sangat tidak baik bagi negeri Terengganu.
Saya percaya mereka yang rakus dalam Umno ini amat tidak sabar melihat perubahan ekonomi yang kononnya bakal berlaku. Kepentingan puak masing-masing perlu dipelihara walaupun terpaksa mengorbankan prinsip (kalaulah pemimpin Umno berprinsip) sekalipun terpaksa menjilat semula ludah. Bukan soal untuk berfikir tentang kepentingan rakyat dengan kekayaan negeri anugerah Allah Taala. Kuasa politik amat perlu untuk dapat projek dan kekayaan.
Melihat kepada tiada tanda-tanda Ahmad Said akan tersingkir dari kerusi MB, permusuhan berterusan dengan Ahmad Said yang kekal berkuasa adalah suatu tindakan yang sangat tidak bijak yang natijahnya jelas, puak Idris Jusoh tentu akan hanya menjadi pemerhati satu demi satu projek dibolot oleh puak MB. Ketika ini soal maruah bukan lagi perhintungan. Walaupun terpaksa melakukan pusingan 360°, Lantas mungkin inilah puncanya hampir setahun lalu kenapa langkah perdamaian yang penuh kepura-puraan perlu diambil ketika itu. Tetapi apabila jelas puak-puak Ahmad Said terus membolot satu demi satu projek sementara puak Idris Jusoh terus melopong, maka perang perlu diisytiharkan semula!
Manifestasi ketidak hadiran kesemua empat Adun BN di Parlimen Setiu adalah pengisytiharan terbuka penerusan konflik. Paling tepat ialah ketika kedatangan Timbalan Presiden merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Setiu. Amat malang bagi Muhyiddin kerana datang ke Setiu untuk melihat permusuhan berlaku di depan matanya. Sudahlah dulu ketika beliau ke Kuala Berang, Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid tidak mengendahkan kedatangannya. Barang kali tepat jika diungkap, kita bermusuh kerana kuasa dan projek, maka kita juga boleh berdamai kerana projek! Demi kuasa, pangkat, kedudukan, darjat dan projek, segalanya mungkin...
Dr Azman Ibrahim ialah Ketua Penerangan PAS Kawasan Setiu, Terengganu.