KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS WILAYAH PERSEKUTUAN
>> Friday, 21 May 2010
BERIKAN HAK MAHASISWA 21 TAHUN UNTUK BERPOLITIK
(21 Mei 2010 / 07 Jamadilakhir 1431)
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyokong kenyataan Pengerusi Pusat Perkembangan Budaya LLG, Datuk Dr. Toh Kin Woon yang menyatakan bahawa mahasiswa yang berusia lebih 21 tahun ke atas berhak untuk terjun ke dunia politik.
Datuk Dr. Toh Kin Woon memberikan respons terhadap tindakan undang-undang yang dikenakan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke atas empat mahasiswa Sains Politik UKM yang terlibat dalam kempen Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor.
Sebenarnya tindakan empat mahasiswa UKM tersebut selari dengan Seksyen 119(1a) dalam Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyatakan semua warganegara yang mencapai umur 21 tahun berhak menyertai politik dan layak mengundi dalam pilihanraya.
DPPWP mempersoalkan, kalau sekiranya usia 21 tahun adalah usia kelayakan mengundi, mengapa mereka tidak dibenarkan untuk berpolitik dan menyatakan sikap mereka terhadap mana-mana parti politik. Bukankah Malaysia sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, justeru mengapa mesti ada sekatan terhadap empat mahasiswa tersebut untuk mengamalkan hak demokrasi mereka?
DPPWP berpandangan undang-undang seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 sangat tidak sesuai sekarang kerana ia menyekat mahasiswa untuk menyatakan hak mereka. AUKU adalah alat untuk menyekat kebebasan mahasiswa untuk berpersatuan dan berpolitik, sedangkan dengan cara inilah mampu mematangkan mahasiswa dan melatih kepemimpinan mereka.
Sepatutnya mahasiswa diberikan kebebasan mengenali lanskap politik negara, agar mereka tahu dan mampu menangani isu-isu semasa dengan baik. Apa yang berlaku hari ini, ramai mahasiswa yang tidak tahu menahu hal ehwal negara menyebabkan mereka menjadi lesu dan tidak bersikap proaktif dalam kepemimpinan mereka.
Lagipun, empat mahasiswa tersebut terlibat berkempen di luar dari universiti mereka, justeru apakah perlu universiti mengambil tindakan terhadap hak dan privasi mereka. DPPWP bersetuju sekiranya tindakan diambil apabila mereka mengabaikan pelajaran atau meninggalkan kelas pengajian serta menjatuhkan nama baik universiti.
Tindakan diambil terhadap mereka hanya kerana mereka berkempen untuk Pakatan Rakyat di Hulu Selangor, tetapi bagaimana sekiranya mereka adalah ahli UMNO dan terlibat secara langsung dengan kempen di mana-mana pilihanraya kecil? Sejarah menunjukkan bahawa UMNO/BN sentiasa akan menggunakan golongan pelajar di dalam kempen mereka.
DPPWP berharap pihak UKM bersikap lebih profesional dan lebih rasional dalam menangani isu ini. Sememangnya UKM akan lebih gemilang seandainya mereka mampu memberikan ruang demokrasi bernafas di dalam kampus dan memberikan hak kepada mahasiswa yang telah berusia 21 tahun untuk memberikan sokongan kepada mana-mana parti politik atas nama demokrasi yang sebenar.
Disediakan oleh
FADHIL OSMAN
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
0 comments:
Post a Comment