JANGKAAN KEMATIAN SEMAKIN MENINGKAT
>> Friday, 15 January 2010
500,000 mungkin terbunuh di Haiti
TANGAN mangsa gempa terjulur keluar di lokasi runtuhan bangunan ketika operasi mencari dan menyelamat diteruskan di Port-au-Prince, kelmarin.
Palang Merah habis ubat rawat mangsa gempa
PORT-AU-PRINCE: Kira-kira 100,000 hingga 500,000 penduduk Haiti mungkin terbunuh dalam gempa bumi paling teruk dalam sejarah negara itu, kata Perdana Menteri dan seorang senator negara itu ketika mayat mangsa bencana itu terus dikumpul.
Perdana Menteri Haiti, Jean-Max Bellerive bimbang jumlah kematian akibat gempa bumi besar itu mungkin melebihi 100,000 manakala Senator Youri Latortue, menganggarkan angkanya sehingga 500,000 orang selepas gempa 7 skala Richter melanda.
Mayat ditarik dari runtuhan rumah di baringkan di tepi jalan dan dibaluti kain dengan mereka yang lalu lalang menyingkap kain untuk mengenal pasti jika orang tersayang berada di bawahnya. Selain, puluhan ribu rumah, hospital dan sekolah juga musnah.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan 22 kakitangannya maut dan 150 orang termasuk Hedi Annabi, wakil khas Setiausaha Agung, masih hilang selepas bangunan ibu pejabat lima tingkat milik organisasi itu runtuh.
Palang Merah Amerika turut mendedahkan mereka kehabisan bekalan ubatan bagi membantu mangsa yang cedera dalam bencana alam terbabit.
Sementara itu, seorang wanita Kanada yang terperangkap di sebalik runtuhan gempa bumi di Haiti berjaya diselamatkan kelmarin selepas beliau menghantar mesej pesanan ringkas ke Ottawa untuk meminta bantuan.
Wanita itu berupaya menggunakan telefon bimbitnya atau peralatan tangan untuk menghantar mesej teks, yang diterima Jabatan Hal Ehwal Asing di Ottawa hampir 3,000 kilometer jauhnya.
Ia kemudian disampaikan kepada diplomat Kanada di Haiti, yang berkejar untuk menghantar bantuan. Pejabat Menteri Luar, Lawrence Cannon difahamkan mangsa selamat namun enggan memberi maklumat lanjut.
Palang Merah Amerika menyumbang AS$1 juta (RM3.34 juta) daripada Dana Maklum Balas Antarabangsa bagi menyokong operasi bantuan menghantar lebih banyak bekalan.
Bank Dunia pula merancang untuk melanjutkan bantuan kecemasan berjumlah AS$100 juta (RM334 juta) kepada Haiti bagi membantu pemulihan dan pembinaan semula.
Dalam satu kenyataan, Robert Zoellick, presiden bank itu berkata: "Ia kejadian mengejutkan dan amat penting sokongan masyarakat antarabangsa kepada rakyat Haiti pada masa kritikal ini.
Jean-Max Bellerive mengakui agak mustahil untuk mengatakan berapa ramai yang terkorban ketika ibu kota ini berada dalam keadaan huru hara.
"Saya berharap ia tidak benar, kerana saya berharap penduduk mempunyai masa untuk melarikan diri. Oleh kerana ramai penduduk berada di jalanan kini, kami tidak tahu di mana mereka tinggal.
"Namun terlalu ramai penduduk, banyak bangunan, banyak kejiranan musnah sama sekali dan sesetengah kawasan kejiranan tidak kelihatan mana-mana penduduk, justeru saya tidak tahu di mana mereka."
Sementara itu, Presiden Renรฉ Prรฉval, menggambarkan keadaan di jalan raya ibu kota ini sebagai 'tidak dapat dibayangkan.'
Mayat dipenuhi darah disusun tinggi di tepi jalan dan penyelamat terpaksa menggali menerusi runtuhan menggunakan tangan untuk melepaskan mangsa yang terperangkap. - Agensi
0 comments:
Post a Comment